KUALA LUMPUR: Bekas juara 100 meter (m) lelaki Sukan SEA 2019, Muhammad Haiqal Hanafi, berazam membantu kuartet 4x100m lelaki negara meleburkan rekod kebangsaan, sekiranya beraksi dalam acara itu pada Sukan Asia Hangzhou 2022 di China.

Muhammad Haiqal berkata beliau tekad memberikan larian bertenaga dalam usaha mencatatkan 38 saat (s) sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan iaitu 39.09s yang dilakukannya bersama jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi diikuti Muhammad Arsyad Saat dan Muhammad Zulfiqar Ismail pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam.

"Sekiranya dapat pecah rekod kebangsaan dengan catatan 38s di Hangzhou, insya-Allah medal berpotensi dalam tangan.

"Walau bagaimanapun, jika tidak menang medal, kejayaan memperbaharui rekod kebangsaan merupakan pencapaian membanggakan," katanya kepada Bernama.

Minggu lepas, jurulatih pecut negara Mohd Poad Md Kassim memberitahu Bernama buat masa ini juara 100m lelaki Sukan SEA 2017, Khairul Hafiz Jantan dan Muhammad Azeem, masing-masing dijangka diletakkan sebagai pelari pertama dan terakhir dalam acara 4x100m lelaki pada temasya sukan di China itu, dijadual bermula 23 Sept hingga 8 Okt ini.

Mohd Poad berkata beliau akan menjadikan kejohanan Terbuka Jabar di Indonesia bermula 14 hingga 16 Sept ini bagi membuat penilaian terakhir menentukan dua lagi pelari untuk beraksi di Hangzhou, terdiri daripada Muhammad Haiqal, Muhammad Arsyad, Jonathan Nyepa dan Russel Alexander Nasir Taib.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat acara tersebut di Sukan Asia adalah pada edisi 1966 yang menyaksikan legenda olahraga tanah air Tan Sri Dr M. Jegathesan bersama Mohd Ariffin Ahmad, G. Rajalingam dan T. Krishnan mencipta sejarah tersendiri dengan muncul juara di Bangkok.

Dalam pada itu, Muhammad Haiqal berkata juara bertahan Jepun serta Thailand menjadi pilihan utama untuk mendominasi acara 4x100m lelaki yang akan berlangsung di Stadium Pusat Sukan Olimpik Hangzhou.

Sementara itu, atlet berusia 24 tahun yang baharu sahaja pulih daripada kecederaan buku lali Julai lepas berkata kejohanan di Indonesia akan dijadikan medan ujian memperkemaskan teknik larian dan pertukaran baton, menjelang temasya empat tahunan sekali itu.

Katanya, selain beliau sendiri, kuartet negara pada kejohanan tersebut akan diwakili Khairul Hafiz, Muhammad Arsyad dan Jonathan.

-- BERNAMA